Follow Dashboard
TITLE; Abah ....
Khamis, 6 Disember 2012 | 6:32 PG | 0 comments
Bismillahhirrohmanirrohim.. 


 Assalammualaikum warohmatullahiwabarokatuh

Buat sekian lamanya aku tidak menatap laptop ku dengan begitu lama seperti ini. Ianya seperti setahun yang lepas. Ya, setahun yang lepas. Aku tidak tahu menahu, kenapa dan mengapa aku tidak boleh melelapkan mata pada hari Khamis bertarikh 6 December 2012. Menjadi kebiasaan ku, aku anak abah yang susah bangun pagi. Dan susah untuk melelapkan mata dimalam hari. Terlalu dimanja kan. Mungkin, dimanjakan. Hmm, so entry kali agak menyedihkan. Bila aku cuba mendalami segala jasa dan pengorbanan seorang ABAH pada aku. Bukan aku nak katakan 'emak' tidak mengorbankan apa-apa untuk aku, tetap biarlah entry ini khas untuk abah. Aku nak dia baca sendiri. Biarkan dia dengan tangis nya sendiri. 

ABAH,

Terlalu banyak pengorbanan yang abah lakukan buat saya. Banyak. Sehingga tidak terhitung jasa abah pada saya. Waktu kecil-kecil, saya hanya tahu meminta-minta. Menangis bila tidak dapat apa yg dimahukan. Menghentak-hentakkan kaki bila tidak dapat apa yang diinginkan. Zaman kecil itu lah zaman silam saya. Dulu hidup saya banyak dengan dugaan. Apabila masa itu Abah dan Emak terlalu susah. Sehingga meletakkan saya dan adik-adik yang lain dirumah orang lain untuk dijaga. Sedangkan Abah dan Emak pergi keluar mencari sesuap nasi. Mencari rezeki yang halal. Kami hanya tahu menangis, nak itu ini. Kami kecil masa itu. Tiada apa yang kami fikirkan, hanya mahukan apa yang kami inginkan dilaksanakan. Walaupun susah, Abah dan Emak tetap mencari duit untuk membesarkan kami adik beradik. TERIMA KASIH ABAH EMAK ...

Zaman sekolah, saya di sekolah rendah. Pada masa itu saya baru darjah 1. Sungguh kagum dan bangga nya Abah menghantarkan saya ke sekolah. Tanpa tangisan yang berlagu, saya meniti hari-hari saya di sekolah. Bersama kawan baru, beg baru, buku baru, cikgu baru yang mengajar dan 'boyfriend baru' *kidding* .. Setiap pagi tepat pukul 5:45am, Abah hantar saya ke sekolah. Penat lelah bekerja tak pernah hilang. Tak pernah jemu menghantar saya dan adik-beradik saya. Sehingga kan ada yang menyatakan saya dan adik-beradik saya sebagai "ANAK MANJA". Pergi dihantar, balik diambil. Sehinggakan abang aku mengambil keputusan untuk tinggal di asrama sewaktu kami bersama-sama di Sekolah Menengah. Tapi aku? Aku tidak akan pernah tinggalkan Abah. Walupun jarak rumah dan sekolah berasrama itu tak jauh, tapi aku tetap dengan pendirian ku takkan tinggalkan Abah. 

Aku sayangkan Abah. Walaupun ramai manusia yang dengki, khianat, benci dengan Abah, tapi aku tidak pernah sedetik membenci dia. Dia insan yang aku sayang sampai akhir hayat aku. Dia banyak beri dorongan pada aku. Sewaktu di Sekolah Menengah, aku menjadi contoh pada adik-adik aku, apabila aku sendiri selama 5 tahun di Sekolah Menengah tidak pernah 'miss' naik ke pentas mengambil anugerah. Bukan bangga diri, tapi ini lah realitinya. Aku menjadi kebanggaan Abah dan Emak. Aku dilambung tinggi Abah dan Emak. Mereka tidak pernah lelah mendoakan kejayaan aku. Aku berterima kasih banyak pada mereka. Mereka insan yang amat mulia. 

ABAH,

Saya ingat lagi waktu di Sekolah Menengah, Abah sanggup dipotong gaji kerana keluar senyap-senyap dari Office, disebabkan Hari Anugerah terakhir saya sewaktu saya di Tingkatan 5. Saya ingat lagi pada masa itu. Saya menerima 3 atau 4 anugerah. Abah menyatakan pada saya bahawa Abah takkan hadir, tapi bila detik nama saya dipanggil, saya nampak kelibat Abah dibelakang menepuk tangan, senyum bangga melihat saya. Saya yang waktu itu lemah, sedih, jika benar lah Abah tak hadir ke Majlis Anugerah terakhir saya itu, betapa hancur nya hati saya ini. Tetapi apabila melihat Abah, saya menjadi semangat. Semangat yang luar biasa datangnya dari Abah. 

Setahun lepas, saya pergi membawa diri ke Kuala Lumpur, untuk melanjutkan pelajaran. Tidak aku sangka, aku akan tinggalkan Abah. Boleh dikatakan, sewaktu berada di hostel, aku menelefon dia berkali-kali. Aku rindu. Aku sayang akan dia. Tapi kini aku kena berdiri di kaki aku sendiri. Sewaktu dia meninggalkan aku di hostel, dia menangis. Dan aku ingat lagi apa yang dikatakannya, bahawa Ini adalah kali pertama dia melepaskan aku. Meninggalkan aku berdikari selepas seumur hidup aku, aku dibesarkan, dimanjakan oleh Abah. Dan kini aku kena berdiri di kaki ku sendiri. Dalam lubuk hati Abah, yang amat dalam itu, tersimpan satu sifat iaitu sifat penyayang. Dia sangat penyayang.Aku akuinya itu. 

ABAH,

Apabila aku jauh, Abah selalu menelefon ku. Sehinggakan abang kandung ku sendiri cemburu. Kenapa perlu aku yang di jaga dengan rapi, diberi perhatian, dan semuanya. Tetapi, Abah tetap dengan pendiriannya. Maybe, adik-beradik ku pernah berkata-kata di belakang ku selama aku tiada dirumah dekat dengan mereka. Mungkin mereka cemburu dengan sifat Abah yang hanya melebih kan aku. Itu semua hanya Abah yang tahu. Abah penuh dengan rahsia. Dan kini dengan sifat dia yang perahsia itu, dia menanggung sakit. Sakit jantung. Dari dulu dia menghidapnya. Tetapi sampai sekarang tidak baik-baik. 

Dan sekarang abah makin kurang sihat. Abah bekerja pun dah tak larat. Hanya Emak yang mencari rezeki. Tetapi aku tahu Abah amat merinduikan aku. Sehinggakan dia menelefon ku banyak kali menanyakan, adakah aku akan balik pada weekend ini? Aku tahu dia nak berjumpa dengan aku. Aku juga tak sabar berjumpa dengan dia. Dan aku amat merinduikannya. Maybe Abah makin kurus. Kerana dia sekarang kurang makan. Makan ubat pun tak boleh, asyik muntah je. Hmmm, Ya Allah. 

Ya Allah,
Aku disini menanggung kerisauan yang amat besar. Aku tak sanggup dengar apa Abah sakit lagi. Aku nak Abah sihat walafiat. Boleh tersenyum. Boleh main-main dengan kami. Boleh main kejar-kejar dengan kami. Main badminton. Main gitar. Aku rindui saat-saat itu. Aku rindukan suara Abah yang selalu nya pada aku. Aku rindukan dia. Rindukan dia bagaikan dia 'Kekasih Hatiku'.. Dia terlalu istimewa buat aku. Tiada pengganti selain dia. 

 Kasih seorang bapa sangat mahal dan sukar untuk dilafazkan, apatah lagi untuk dizahirkan. Namun, atas nama tanggungjawab sebagai bapa dan atas nama anak sebagai amanah dari Allah, Kaum bapa sekalian, sentuhlah anak-anak kita ini dengan segala sentuhan kasih yang tulus demi mengharap redha Allah semata-mata sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka." (At-Tahrim : 6)

Benarlah kata-kata Allah yang Maha Agung ...

Assalammualaikum,

SAYANG ABAH


 


0 Comment(s)

Old things | New things